بسم الله الرØمان الرØيم
Terasing. Sama maksud dengan tersisih atau terpisah dari yang lain atau pun dengan kata yang lebih mudah keseorangan atau bersendirian.
Tak semua orang sedang atau pernah mengalami situasi sebegini. Hanya mereka tertentu sahaja akan merasai pengalaman yang pahit ini.
Bersendirian
Perasaan bersendirian pada hakikatnya merupakan suatu pengalaman yang bersifat negatif. Seseorang boleh mengalami perasaan bersendirian dan terasing atas faktor-faktor yang berbeza.
Secara umumnya, perasaan bersendirian lebih dialami oleh mereka yang pendiam. Kurangnya interaksi dengan masyarakat sosial (bagi saya, ahli keluarga dan sahabat) di sekeliling adalah disebabkan kurangnya kemahiran komunikasi, atau pun kemahiran 'beramah mesra' dan sebagainya.
Dalam konteks kehidupan sebagai seorang pelajar, seseorang itu bersendirian mungkin kerana pengalaman yang menuntut dia bersendirian walau hakikatnya dia tidak ingin bersendirian. Contohnya mereka yang tercicir dari mereka yang terkehadapan. Ah, berlapiknya cakap. Senang cakap, golongan yang terpaksa bersendirian adalah mereka yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun yang menyebabkan mereka tidak dapat bersama-sama mereka yang berjaya meneruskan pelajaran baru dan tidak perlu mengulang tahun belajar yang sama.
Mengasingkan diri
Bilamana terjadinya situasi sedemikian, pelbagai emosi dan rasa hadir dalam diri. Sedih, kecewa, lemah semangat, rendah diri, serta segan dengan mereka yang lebih berjaya. Bila segan menyelubungi diri, secara sendirinya terasa ingin mengasingkan diri.
"Eh, kenapa malu? Alah, buat biasa-biasa je. Kita kan masih satu batch."
Terdiam. Sepi tiada jawapan. Hanya mampu memberi senyum yang dibuat-buat.
Untuk buat biasa-biasa itu lah yang payah bila rasa lain dengan yang lain itu hadir. Ada jurang yang memisahkan. Ah, susah untuk terangkan. Hanya mereka yang melaluinya dapat merasainya dan memahami perasaan lain itu.
Bukan Salah Siapa-siapa
Jangan tuduh mereka, usah salahkan mereka. Mereka mungkin tidak menyisihkan mereka dan bukan kehendak mereka sepenuhnya untuk menyendiri, mengasingkan diri. Sebenarnya, faktor perbezaan antara mereka menyumbang ke arah pengasingan ini. Perbezaan dari segi ujian hidup yang menimpa diri masing-masing, perbezaan langkah perjalanan hidup yang mendatang dan lain-lain.
Mereka harus hormati mereka andai ada mereka mengasingkan diri. Cubalah selami dan fahami mereka serta berilah peluang dan ruang untuk mereka. Bukan niat untuk memutuskan ukhuwah kerana persahabatan tidak pernah ada putusnya. Hakikatnya, situasi ini lah yang menampakkan nilai ukhuwah yang sebenar. Siapa di antara mereka sebenarnya sahabat sejati, yang setia bersama ketika senang mahu pun susah, ketika suka dan duka.
Dari Nu'man bin Basyir r.a., Rasulullah s.a.w bersabda,
"Perumpaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur."
(Hadis Riwayat Muslim)
Kongsikan Semangat, Titipkan Doa
Mereka memiliki emosi yang tidak stabil terutamanya pada awal ujian sebegitu hadir. Peranan anda? Jangan buat mereka rasa lebih tersisih. Pinjamkanlah semangat untuk mereka yang jatuh kerana bukan mudah untuk bangkit setelah jatuh. Berikanlah kata-kata yang menguatkan diri mereka untuk menghadapi segala ketentuan dari Allah yang Maha Mengetahui. Andai tidak berupaya meluahkan kata-kata, doakan mereka.
Daripada Abu Darda' r.a.: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Doa seorang Muslim kepada saudaranya yang Muslim dengan tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada di dekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama."
(Hadis Riwayat Muslim)
Wallahu'allam..
Nota: mereka/anda = mereka yang lebih berjaya, mereka = mereka yang kurang berjaya
Nota 1: Maaf andai ada yang terasa.
Nota 2: Sendiri by Tashiru.