26 April 2011

Memberi atau Menerima

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat hidup yang Allah terus kurniakan walaupun nikmat sihat ditarik seketika. Dalam hidup ini, sebagai seorang manusia haruslah sentiasa bersyukur pada Tuhan yang telah memberi segala kepada kita sebagai hambaNya.

Allah itu Maha Pemberi

Sungguh. Allah itu Maha Memberi dan Maha Memenuhi segala hajat. Allah yang memberikan manusia nikmat rezeki tanpa mereka meminta-minta. Apatah lagi, bila mana hambaNya meminta, Dia lah yang Maha Kuasa memenuhi hajat mereka. 

Allah itu Maha Pemurah. Setiap kali hambaNya mengangkat tangan memohon doa dan pertolongan, tidak pernah dipersia-siakan. Allah memakbulkan permintaan hambaNya yang beriman.

Diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi, Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

"Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi. Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)


Memberi Suatu Amalan Yang Dituntut



Memberi membawa maksud menyebabkan seseorang menerima sesuatu. "Sesuatu" di sini terlalu luas skop definisinya. 

Boleh jadi sesuatu itu adalah pertolongan. Pertolongan pula boleh dari pelbagai aspek yakni dari segi kewangan, tenaga, buah idea dan macam-macam lagi. 

Boleh jadi juga sesuatu itu adalah sesuatu yang sangat simple, semua orang boleh buat. Contohnya, senyum :). So simple! Tidak salah bertukar senyuman sesama saudara se-Islam dan se-jantina kita kan. Apatah lagi, senyum itu adalah sedekah yang paling mudah dan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.


"Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api."
(Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Dan tiada salahnya kita bersedekah dengan harta yang kita ada kerana dengan bersedekah (memberi) tidak akan mengurangkan rezeki bahkan ianya akan menambah lagi rezeki.


Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan apa-apa sesuatu yang kamu belanjakan, maka Dia akan menggantikannya; dan Dia adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki."
(Saba': 39)


Manusia: Lebih Menerima Daripada Memberi?

Ya. Manusia itu lebih cenderung untuk menerima, bahkan rata-rata mengelakkan diri daripada memberi. Hakikatnya, dari awal kehidupan kita, terlalu banyak perkara yang kita terima. Bermula dengan ruh atau nyawa daripada Allah yang telah menghidupkan hambaNya, kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa, rezeki dalam kehidupan yang tidak disangka-sangka, pelajaran dalam mendidik diri dan banyak lagi yang tak tersenarai di sini. 

Muhasabah diri kembali. Di sebalik semua kurniaan ini, adakah kita bersyukur? Kekadang, rasa diri sudah bersyukur. Namun alangkah ruginya jika rasa syukur itu tidak diluahkan melalui  tindakan memberi, berkongsi nikmat yang Allah kurniakan.  Cuba kita lihat sepanjang kehidupan kita di dunia ini, adakah kita banyak memberi atau banyak menerima? Tepuk dada tanya hati.


Hidup Saling Memerlukan


Ditanya kepada Luqman Al Hakim: "Siapakah manusia yang paling baik?" Luqman menjawab: "Orang kaya." Ditanya lagi: "Kaya pada hartakah?" Jawab Luqman: "Tidak, tetapi orang kaya ialah jika diminta kebaikan daripadanya ia akan memberi. Jika tidak, dia telah menjadikan dirinya tidak memerlukan orang lain."


Manusia hidup di dunia ini saling memerlukan. Kalau tidak, mengapa adanya golongan kaya dan miskin di dunia ini? Kenapa tidak hanya ada golongan kaya sahaja? Secara logiknya, andai tiada golongan miskin, golongan kaya tidak dapat berbuat kebaikan. 

Contoh lain, seseorang anak memerlukan ibu bapa di dalam hidupnya. Kerana dari mereka lah si anak mendapat kasih sayang, didikan, perhatian dan segalanya. Mereka sangat bermurah hati memberi segala yang diingini oleh si anak kerana si anak adalah anugerah daripada Allah, si anak lah penghibur hati mereka dan si anak jua lah yang diharapkan untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Seorang sahabat juga memerlukan sahabat yang lain. Di saat hidup berjauhan dari keluarga, sahabat lah orang yang paling dekat dengan kita. Dari mereka kita mendapat kasih sayang sahabat, nasihat dan peringatan serta bermacam lagi kebaikan.

Hakikatnya, kita tidak boleh hidup keseorangan di dunia ini. Adam perlukan Hawa. Kita? Perlu kepada Dia, Yang Maha Esa :). Tetapi ingatlah bahawa Allah tidak memerlukan kita.


Ayuh Memberi!



Menerima dan memberi adalah dua proses yang harus berjalan pada diri manusia. Tidak sempurna keberadaan manusia jika hanya memiliki satu saja dari sifat tersebut. Memberi adalah satu kebaikan. Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah. 

Oleh itu sahabat, usah bimbang untuk berbuat kebaikan. 

Firman Allah s.w.t.:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
(Al-Isra': 7)

Usah ragu dalam memberi.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 

“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.” 
(Sebahagian hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Wallahua'lam.

0 comments: