03 December 2011

Terkejut!

"Hah? Kenapa?eek"

Setelah lama tak mengunjung blog sendiri, tiba-tiba keluar site 'Malware Detected!' bila datang menjenguk. Apakah? Kenapakah? Pelik. Malware detected sebab ada laman web iluvislam.com dalam blog ni. Err, laman web iluvislam.com ada malware? Ish, kerja siapa lah. Sangat tak berpuas hati bila benda ni berlaku. Sedih cry. Sepatutnya laman web yang berunsurkan benda-benda tak elok (faham-faham sendiri, malas nak taip) yang sepatutnya kena banned.

Maaf kepada mereka yang telah datang melawat blog ni dan terkena 'Malware Detected!'. Segala kesulitan amat lah dikesali sad.




23 October 2011

Ilham.

Ilham.

Tak semua orang dapat.
Kadang-kadang ia datang, kadangkala ia sepi.
Sungguh beruntung mereka yang memperoleh ilham untuk menulis apatah lagi penulisan itu membawa peringatan dan menyentuh hati sesiapa yang membacanya.

Hijau itu mendamaikan (^_^)y

Moga diri dikurniakan ilham kembali. Insya-Allah smile



Nota : Lama tak menulis, jari kaku di papan keyboard. cry

11 September 2011

Rindu...

Dada sebak.
Pintu bilik air ditutup. Pili di sinki dibiarkan terbuka.
Air mata merembes dengan lajunya.

Ahh, rindunya...


========================================================================


November 2008


"Salam Angah. Semalam Tokki dah pergi................................"


Lidah terkedu. Terpaku di hadapan laptop.
Betul ke apa yang adik ku tulis ni? (pada wall FS)


Telefon bimbit yang baru dibeli semalam untuk menggantikan telefon yang rosak dicapai. Laju tangan menaip dan menghantar mesej kepada Mak untuk mendapatkan pengesahan tentang berita yang mengejutkan tu. Tak menunggu lama sebab jangka Mak tak akan balas mesej dalam masa terdekat dek waktu tu orang di Malaysia mungkin masih tidur. Tutup FS dan paksa diri untuk tidur, lari seketika dari fikiran yang bercelaru.


Keesokan pagi, membaca mesej Mak membuatkan air mata mengalir lagi. Sedih tak sempat bertemu dan mencium arwah buat kali terakhir. Terkilan tak sempat sampaikan tasbih yang Tokki nak. Dan yang mengecewakan, berita ni disampaikan lewat sehari. Mak cakap tak nak bagi Angah risau. Ya Mak, Angah faham dan mengerti akan tindakan Mak tu. Tapi, tak dapat dinafikan hati sedikit terguris :(.


Baru je beberapa hari lepas Angah sempat bercakap dengan Tokki. Masa tu Tokki di dalam wad di Hospital Besut. Mak sekadar menyatakan Tokki dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Bercakap dengan Tokki, suara dia lemah. Sekejap je dapat borak dengan Tokki. Tak sangka itu kali terakhir Angah dapat bercakap dengan Tokki, tu kali terakhir Angah kan mendengar suara Tokki dan sungguh tak sangka kata-kata Tokki, "jaga diri molek, blaja sungguh.." merupakan amanat dan pesanan terakhir dari arwah.


=======================================================================


Tokki,


kenapa pergi ketika Angah tiada di sisi?
kenapa pergi sebelum Angah sempat memberi tasbih yang dijanjikan?
kenapa tinggalkan Angah di saat Angah belum dapat membawa pulang ijazah kejayaan yang dijanjikan?
kenapa pergi sebelum Angah sempat bertanyakan jodoh yang sesuai untuk Angah?
kenapa pergi sebelum Tokki menghadiri walimah cucu Tokki ni?


Allah Allah Allah.

Wahai diri, sedarlah! Fikiran mu sedang dihasut.
Apa hak kau untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi?
Apa hak kau untuk menyalahkan takdir yang telah tercatat dari dulu lagi??


Astaghfirullah.. Ampunilah dosa-dosa hambaMu ni ya Allah..


Air mata yang masih mengalir dikesat. Wudhu' diambil.


Usai menunaikan solat Maghrib, al-Quran dicapai.
Halaman surah Yassin dibuka.
Hati berbisik,

"Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tokki yang disayangi. Tempatkanlah arwah bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin..."



Bacaan dimulakan.



Dalam kenangan dan ingatan,

Allahyarham Haji Busu b. Abdul Rahman


Al-fatihah





Nota: Tokki, Angah rindu...


02 August 2011

Syukur =)

بسم الله الرحمان الرحيم

Pelangi itu cukup indah =)

Penantian itu berakhir setelah keputusan peperiksaan diumumkan 5 hari yang lalu.
Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk merasai nikmat sebuah kejayaan =).

Penantian itu akhirnya tiba setelah 2 hari Ramadhan dilalui.
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menjalani ibadah di bulan penuh berkah ini.

Mungkinkah ini Ramadhan ku yang terakhir? Wallahu'alam.
Mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Mudah-mudahan, insyaAllah =).

Syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Terlalu banyak, tak terkira.
Alhamdulillah!


Nota : Terima kasih atas doa kalian! Berkat doa itu, kejayaan yang ditangguh sekian lama akhirnya hadir. Moga Allah merahmati kalian~


28 July 2011

Penantian.

بسم الله الرحمان الرحيم


"Penantian satu penyeksaan."

Ayat yang selalu digunakan dalam mendefinisikan perkataan 'penantian' itu.
Memang tak dinafikan kenyataan tersebut betul (untuk beberapa situasi). Sebagai contoh, menunggu waktu untuk pulang ke Malaysia (bagi pelajar luar negara) memang satu penyeksaan. Hehe (^_^)v.

Tetapi, ada juga penantian yang dinanti-nanti. Penantian yang dimaksudkan ialah penantian satu bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan. Andai kita selami balik kelebihan-kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan, sudah pasti kita merindui akan kehadirannya.

Ramadhan, bulan penuh berkah. Juga dikenali sebagai bulan pesta ibadah. Tengok je la video kat bawah ni ;




Di kala menanti Ramadhan, diri juga cuak menunggu keputusan peperiksaan akhir tahun yang dijangka kecil keluar pada hari ini atau jangkaan besar pada hari Sabtu nanti. Natijah yang akan diterima ini juga bakal menentukan pengisian cuti musim panas ni. Moga-moga pelangi yang dinanti hadir dalam masa terdekat =)

Walau apa pun natijah yang akan diterima, mudah-mudahan ia tidak mengganggu pesta ibadah yang akan dilaksanakan dalam 3 hari lagi. InsyaAllah..

Salam Ramadhan 1432H buat semua pembaca. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya.


Allahumma balighna Ramadhan...


14 July 2011

Terus berharap.


بسم الله الرحمان الرحيم


Sudah 5 hari tamat berjuang menghadapi peperiksaan dunia yakni peperiksaan akhir tahun 3. Kenapa baru menulis? Err, diselubungi sifat M. Ish3 *geleng2 kepala*.

Perasaan setelah tamat peperiksaan: lega! =)


Lega, sangat lega walaupun di sebalik kelegaan itu terselit kegusaran. Bila difikirkan kembali soalan-soalan bagi peperiksaan bertulis, memang agak mencabar. Ditambah pula beberapa subjek menunjukkan format exam yang lain dari tahun lepas. 'Ala kulli hal, Alhamdulillah~


Apa yang perlu dibuat setelah tamatnya peperiksaan?


1) Bersyukur kerana diberi kesempatan dari Allah untuk merasai tarbiyyah ini.

Peperiksaan = modul tarbiyyah. Baca inputnya yang dikongsikan oleh seorang senior di sini, KLIK.



2) Bersyukur kerana dikurniakan kemudahan dalam setiap langkah.


Di celah-celah kesukaran, pastinya masih ada kemudahan. Kan? =)


3) Tawakkal.


"Apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah."
(QS Al-Imran, 3: 159)

4) Doa.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah) Ku dan beriman kepada Ku, agar mereka memperoleh kebenaran."
(QS Al-Baqarah, 2 :186)


5) Bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Redha dengan takdir yang mendatang.



"Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."
(QS At-Talaq, 65: 3)




Dalam hidup ini, ada ketika kita diuji. Ujian boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kegagalan itu satu ujian, kejayaan itu jua ujian. Usah disangka mereka yang berjaya tidak diuji, yang gagal pula jangan menyalahkan takdir Ilahi. Siapa lah kita untuk mempersoalkan ketentuan yang telah Dia tetapkan? Ingat, Dia Maha Mengetahui segalanya, yang tersurat mahupun yang tersirat. Dan Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.




Terus berharap. Jangan penat berdoa. Usah berputus asa. Pasti ada rahmat yang tak disangka-sangka!


Nota : Ramadhan, 17 hari lagi..


26 June 2011

Coretan kasih dari dia yang disayangi (=

Nota cinta dari dia~


Kakak,

Ujian yang hadir mendekatkan kita,
merapatkan ukhuwah yang selama ini jauh.
Kerana kita berkongsi rasa yang sama.
Kita sama-sama fahami erti kekuatan
di sebalik badai yang melanda.

Sakit, pedih, kecewa,
itu yang mengajar kita bukan?
Titisan air mata yang mengalir
bukanlah kerana kita terlalu lemah. Bukan.
Tapi ia hadir untuk kita hargai,
hidup bukan hanya ketawa, bukan hanya senang.
Air mata itu mengajar kita sesuatu,
sesuatu yang bermakna. Erti kehidupan.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi?" - Al-Ankabut, 2 -

Allah kasih pada kita.
Allah pandang kita!
Bukankah itu bermakna dari segalanya?
Ya, kita mengaku kita beriman.
Pasti ada ujian yang akan hadir. Pasti.
Ujian bukannya hukuman dari Allah,
tapi... itu tandanya Allah beri peluang
untuk kita kembali padaNya.
Senyumlah, hakikat kehidupan memang begitu. (=


Lot of Love,
N.I.M.H (=
0905
250611


My love to her~





Nota: Terharu =').

Nota 1: N.I.M.H pemilik Warna Warni Kehidupan (=

Nota 2: Alhamdulillah.. Exam berbaki 1 subjek je lagi. Wahai diri, teruskan berusaha! Chaiyok2! Readers, keep me in your prayer k. ^_^

20 May 2011

Exam.

بسم الله الرحمان الرحيم



Bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun 3 tak lama lagi.


23/5 - Practical Microbiology

29/5 - Practical Pathology

7/6 - Written Pathology Paper 1

8/6 - Written Pathology Paper 2

16/6 - Written Microbiology

20/6 - Oral Microbiology

22/6 - Oral Pathology

6/7 - Written Pharmacology Paper 1

7/7 - Written Pharmacology Paper 2
&
Practical Pharmacology

9/7 - Oral Pharmacology



Mohon doa dari semua pembaca.
Jzkk!

*****************************************

Tak lupa, buat semua yang bakal dan sedang berada dalam 'Exam Mode',


Rabbuna yusahhil.
Bittaufiq wannajah wa imtiaz fi imtihan!
Amin Ya Rabb!

****************************************

Sampai bertemu lagi~
InsyaAllah..
=)

Assalamualaikum w.b.t.

17 May 2011

Bermakna.

بسم الله الرحمان الرحيم

Mei, bulan yang banyak peristiwa.

13 Mei : Peristiwa Berdarah

Tanggal 13 Mei 1969, telah berlakunya pertelingkahan antara kaum di Malaysia. Hakikatnya, pelbagai faktor yang mendorong terjadinya tragedi berdarah ini yang banyak meninggalkan kesan terhadap ekonomi, politik dan sosial masyarakat Malaysia.

Tak mahu mengulas panjang. Boleh rujuk di SINI.


15 Mei : يوم النكبة

Tak ramai di antara kita mengetahui apa yang telah berlaku pada 15 Mei sejak 63 tahun yang lalu. Diri ini juga baru mengetahuinya semenjak dikelilingi biah yang berbeza dari Malaysia. 



Hari Nakba yang bermaksud hari kecelakaan merupakan hari memperingati pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin pleh tentera Israel yang menyebabkan lebih 700, 000 warga Palestin menjadi pelarian. Tarikh 15 Mei dipilih sebagai sambutan Hari Nakba setiap tahun kerana tarikh tersebut mandat British di Palestin berakhir dan penubuhan negara Israel diisytiharkan secara rasmi.

Pada 13 Mei 2011 yang lalu, Intifadhah Palesin yang ke 3 telah dilancarkan bermula selepas solat subuh di sekitar Kaherah, Mesir. Sama-sama doakan mudah-mudahan perjuangan mereka lancar dan dipermudahkan. Amin.

اللهم انصر الإسلام والمسلمين في فلسطين وفي كل مكان وفي كل زمان

Hari Nakba, hari yang patut diingati oleh seluruh masyarakat Islam. Selama 63 tahun rakyat Palestin telah ditindas. Tanya diri kembali, selama kita hidup ini, apakah yang telah kita lakukan dalam membantu meringankan beban yang mereka hadapi? Hakikatnya, kita lalai dengan kesenangan yang hadir dalam hidup, lupa akan kesusahan yang dialami umat Islam yang lain. 

Ayuh semua! Jom boikot barangan Israel dan Yahudi, sama-sama doakan saudara muslim kita di sana.

Palestin: Do you care??


16 Mei : Selamat Hari Guru!

Setiap tahun kat sekolah, tak kira sekolah rendah atau pun sekolah menengah, 16 Mei la tarikh paling menggembirakan buat cikgu. Yelah, dapat banyak ucapan dari anak-anak muridnya, hadiah pun tak ketinggalan dan semestinya doa yang diselitkan dalam ucapan. Semuanya kerana 16 Mei merupakan Hari Guru, hari istimewa buat seorang insan yang bergelar pendidik.



Guru, cikgu, ustaz, ustazah, sir atau teacher merupakan insan yang diibaratkan seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Mereka sudi mencurahkan ilmu yang ada, berkongsi pengalaman sebagai orang yang terlebih dahulu makan garam dan berkorban jiwa, masa serta tenaga dalam mendidik seorang manusia untuk menjadi insan yang berguna. Sungguh, tanpa mereka, mungkin kita kan sesat dan dibelenggu kegelapan.

Tiba Hari Guru, kita tak pernah lupa mengucapkan "Selamat Hari Guru! Terima kasih cikgu!" kepada cikgu-cikgu. Tapi, pernah kah kita terfikir bahawa kedua ibu bapa kita juga guru kita? Malah mereka merupakan guru PERTAMA kita sesaat lahirnya kita di dunia ini. Mereka yang mengajarkan kita   bagaimana membezakan perkara baik dan buruk sejak dari kecil lagi. Saat kita melakukan kesilapan, mereka yang menegur kita, menasihati kita, membimbing kita untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Hakikatnya, ibu bapa merupakan guru SEPANJANG HIDUP kita. 

Oleh itu, hargailah setiap titik peluh dan jasa ibu bapa kita dan guru-guru yang banyak mengajar kita erti hidup di dunia ini. Buat mak dan wae serta semua tenaga pengajar yang pernah mengajar diri ini, semoga Allah memberkati segala ilmu yang telah dicurahkan, meredhai usaha yang telah dilaksanakan dan mudah-mudahan Allah merahmati kehidupan kalian. Terima kasih atas segalanya. :)


17 Mei : Hari Lahir WMF


Lahirnya seorang kanak-kanak lelaki, pelengkap kepada keluarga kami. Satu-satunya adik lelaki yang saya ada, Wan Muhammad Fahmi, si bongsu yang nakal dan manja. 

si nakal~


Teringat masa berada di Malaysia, dia la yang suka bermanja dan bergurau dengan kakak dia ni. Tapi suka jugak bergaduh dan merajuk sampai menangis. Haha, budak manja~ Bila jauh, tiap kali je buat panggilan ke Malaysia, tak nak langsung cakap dengan Kak Ngah dia ni. Tadi je baru sudi nak bercakap, siap minta maaf lagi. Hoho, adikku sorang ni~


Selamat Hari Lahir Adik!
Moga lebih rajin belajar.
Moga lebih istiqamah belajar solat.
Moga cepat membesar sebab awak tu kecik sangat~
Moga terus menceriakan kami.
=)


Setiap Hari Itu Bermakna

Ya. Hari-hari adalah hari yang bererti buat kita yang masih hidup. Hakikatnya, setiap saat itu bermakna. Bersyukurlah kerana Allah masih pinjamkan nyawa buat kita. Gunakan sebaiknya peluang yang ada dengan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan hampir setiap hari. Sama-sama kita berusaha menjadi sebaik-baik insan yang bernama manusia!


"Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana kadang-kadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."
(Syeikh Dr Yusuf Qadhrawi)

Wallahua'lam.

05 May 2011

Allah Lebih Mengetahui...

بسم الله الرحمان الرحيم

Alhamdulillah. Allah telah membuatkan saya berfikir. Berfikir tentang perjalanan hidup selama masih bernyawa di dunia ini. Andai diimbas kembali kehidupan yang lalu, satu per satu, pasti ada saatnya kita pernah berada di atas menikmati kegembiraan serta kejayaan yang dikecapi dan pasti ada jua saat kita jatuh, sedih dalam menghadapi dugaan hidup.

Baiknya Allah

Pernah tak terjadi pada diri, satu ketika terasa ingin melakukan sesuatu yang kurang berfaedah tapi dengan kuasaNya, Allah telah mengubah sesuatu itu dengan kebaikan.

"Yeay! Esok cuti. Boleh tengok movie best dan tidur puas2." - monolog hati M.

Tiba-tiba, suara R kedengaran,

"M, jom esok jogging pagi2. Lama tak bersenam kan? Lepas tu kita study sama2 ye."

M terdiam. Terpaku.

Betapa baiknya Allah yang telah mendatangkan peringatan melalui kata-kata sahabatnya itu supaya tidak mensia-siakan waktu lapang dengan perkara kurang berfaedah. Benarlah,


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(QS Al-Baqarah: 216)



Allah Maha Mengetahui segalanya. Bersyukurlah andai ada peringatan dariNya tika kita terleka seketika. Sesungguhnya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.



1 Mei 2011

Apa ada pada 1 Mei? Mestila cuti sempena Hari Pekerja. Beberapa hari sebelum 1 Mei 2011, saya mendapat ajakan menyertai jaulah Makam Auliya'. Ajakan ini sekadar untuk memenuhi tempat kosong pada awalnya. Untuk tidak menghampakan serta memudahkan urusan sahabat, saya terima.

Awal pagi Ahad terasa malas untuk bersiap bila memikirkan bayaran yang agak 'lari' dari bajet sebenar (Astaghfirullahalazim~). Tapi, janji harus dipenuhi. Diri dipaksa untuk bersiap sekadarnya. Dan tiba saat awal jaulah, saya dan rombongan jaulah disambut dengan bas yang selesa dan celoteh ustaz selaku tour guide kami.

Namun, celoteh bukan sekadar celoteh. Celoteh itu penuh makna. Cara penyampaian ustaz menarik hati serta otak saya untuk berfikir kembali, adakah jaulah ini sekadar membuang masa? Oh, tidak. Secara umumnya, saya berasa bersyukur kerana terpilih bersama mereka menjejaki sejarah para auliya'. Andai kata saya membatalkan penyertaan saya, belum tentu lagi diri ini akan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat di rumah.

Alhamdulillah, Allah telah mentakdirkan yang terbaik buat diri ini. Pengajaran yang diperolehi adalah niat dalam melaksanakan sesuatu perkara itu penting. Andai ianya kerana Allah, insyaAllah tak akan sia-sia. =)


Jaulah Makam Auliya'

Ustaz Zahari, ustaz yang berpengalaman dan tinggi ilmunya

[gambar sesat] coklat pembekal tenaga serta sumber senyuman kami =)

Destinasi pertama : Makam Sayyidah Nafisah

pintu masuk Masjid Sayyidah Nafisah

pintu masuk bagi akhawat


Destinasi 2 : Masjid Amru Ibn Al-'As

hadapan Masjid Amru Ibn Al-'As
- masjid tertua di dunia
- kenali Amru Ibn Al-'As DI SINI

di dalam masjid

Destinasi 3 : Makam Imam Waqi'

pintu makam
- Imam Waqi' merupakan salah seorang guru kepada Imam Syafi'i

Destinasi 4 : Makam Imam Syafi'i

pintu utama ke Makam Imam Syafi'i

Makam Imam Syafi'i
- info mengenai Imam Syafi'i DI SINI atau HERE

tapak kaki Rasulullah SAW yang diletakkan berhampiran Makam Imam Syafi'i

Makam Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari
- selanjutnya DI SINI

simbolik

Destinasi 5 : Makam Hassan al-Banna

pintu pagar luar makam
- maklumat tentang Hassan al-Banna tekan link DI SINI

makam terletak di kawasan tinggi pada sebelah kanan gambar

Destinasi 6 : Makam Rabi'atul Adawiyah


makam srikandi Islam yang dihias cantik

Destinasi 7 : Makam Uqbah Ibn Amir

Masjid Uqbah Ibn Amir

Makam Uqbah Ibn Amir
- siapakah beliau? Lihat DI SINI

dikatakan Hajarul Aswad

Destinasi 8 : Makam Ibnu Atho’ilah al-Iskandary

Masjid Ibnu Atho’ilah al-Iskandary
(tiada gambar makam, tak sempat ambil)
- penulis kitab Al-Hikam
- info selanjutnya, klik DI SINI

Makam Sayyidi Lukmal Bin Ilham
- terletak di bahagian luar masjid
- batu nisannya berbau wangi

Destinasi 9 : Makam Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)

lelaki di dalam gambar merupakan bapa kepada Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)

Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)
- 3 tahun dah hafal Al-Quran.
- meninggal dunia pd usia 4 tahun.
- bile ditanya bapanya bagaimana beliau mendidik anak, bapanya dengan rendah diri menjawab "kullu min 'indiAllah"(semuanya dari Allah). SubhanaAllah..

Bersyukur

Alhamdulillah. Allah telah menggerakkan hati saya untuk menerima tawaran meneruskan pengajian di sini, Mesir. Kalau tidak, tak kan dapat saya menelusuri sendiri sejarah wali-wali Allah dan mengambil iktibar dari kisah perjuangan mereka dalam menuntut ilmu, memperjuangkan syariat Islam dan banyak lagi.

Sungguh. Allah Maha Mengetahui. Yang tersirat, apatah lagi yang tersurat. Yang tersembunyi, apatah lagi yang jelas serta nyata. Kuasa Allah mengatasi manusia, mengatasi segala-galanya.

Wallahu'alam