05 May 2011

Allah Lebih Mengetahui...

بسم الله الرحمان الرحيم

Alhamdulillah. Allah telah membuatkan saya berfikir. Berfikir tentang perjalanan hidup selama masih bernyawa di dunia ini. Andai diimbas kembali kehidupan yang lalu, satu per satu, pasti ada saatnya kita pernah berada di atas menikmati kegembiraan serta kejayaan yang dikecapi dan pasti ada jua saat kita jatuh, sedih dalam menghadapi dugaan hidup.

Baiknya Allah

Pernah tak terjadi pada diri, satu ketika terasa ingin melakukan sesuatu yang kurang berfaedah tapi dengan kuasaNya, Allah telah mengubah sesuatu itu dengan kebaikan.

"Yeay! Esok cuti. Boleh tengok movie best dan tidur puas2." - monolog hati M.

Tiba-tiba, suara R kedengaran,

"M, jom esok jogging pagi2. Lama tak bersenam kan? Lepas tu kita study sama2 ye."

M terdiam. Terpaku.

Betapa baiknya Allah yang telah mendatangkan peringatan melalui kata-kata sahabatnya itu supaya tidak mensia-siakan waktu lapang dengan perkara kurang berfaedah. Benarlah,


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(QS Al-Baqarah: 216)



Allah Maha Mengetahui segalanya. Bersyukurlah andai ada peringatan dariNya tika kita terleka seketika. Sesungguhnya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.



1 Mei 2011

Apa ada pada 1 Mei? Mestila cuti sempena Hari Pekerja. Beberapa hari sebelum 1 Mei 2011, saya mendapat ajakan menyertai jaulah Makam Auliya'. Ajakan ini sekadar untuk memenuhi tempat kosong pada awalnya. Untuk tidak menghampakan serta memudahkan urusan sahabat, saya terima.

Awal pagi Ahad terasa malas untuk bersiap bila memikirkan bayaran yang agak 'lari' dari bajet sebenar (Astaghfirullahalazim~). Tapi, janji harus dipenuhi. Diri dipaksa untuk bersiap sekadarnya. Dan tiba saat awal jaulah, saya dan rombongan jaulah disambut dengan bas yang selesa dan celoteh ustaz selaku tour guide kami.

Namun, celoteh bukan sekadar celoteh. Celoteh itu penuh makna. Cara penyampaian ustaz menarik hati serta otak saya untuk berfikir kembali, adakah jaulah ini sekadar membuang masa? Oh, tidak. Secara umumnya, saya berasa bersyukur kerana terpilih bersama mereka menjejaki sejarah para auliya'. Andai kata saya membatalkan penyertaan saya, belum tentu lagi diri ini akan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat di rumah.

Alhamdulillah, Allah telah mentakdirkan yang terbaik buat diri ini. Pengajaran yang diperolehi adalah niat dalam melaksanakan sesuatu perkara itu penting. Andai ianya kerana Allah, insyaAllah tak akan sia-sia. =)


Jaulah Makam Auliya'

Ustaz Zahari, ustaz yang berpengalaman dan tinggi ilmunya

[gambar sesat] coklat pembekal tenaga serta sumber senyuman kami =)

Destinasi pertama : Makam Sayyidah Nafisah

pintu masuk Masjid Sayyidah Nafisah

pintu masuk bagi akhawat


Destinasi 2 : Masjid Amru Ibn Al-'As

hadapan Masjid Amru Ibn Al-'As
- masjid tertua di dunia
- kenali Amru Ibn Al-'As DI SINI

di dalam masjid

Destinasi 3 : Makam Imam Waqi'

pintu makam
- Imam Waqi' merupakan salah seorang guru kepada Imam Syafi'i

Destinasi 4 : Makam Imam Syafi'i

pintu utama ke Makam Imam Syafi'i

Makam Imam Syafi'i
- info mengenai Imam Syafi'i DI SINI atau HERE

tapak kaki Rasulullah SAW yang diletakkan berhampiran Makam Imam Syafi'i

Makam Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari
- selanjutnya DI SINI

simbolik

Destinasi 5 : Makam Hassan al-Banna

pintu pagar luar makam
- maklumat tentang Hassan al-Banna tekan link DI SINI

makam terletak di kawasan tinggi pada sebelah kanan gambar

Destinasi 6 : Makam Rabi'atul Adawiyah


makam srikandi Islam yang dihias cantik

Destinasi 7 : Makam Uqbah Ibn Amir

Masjid Uqbah Ibn Amir

Makam Uqbah Ibn Amir
- siapakah beliau? Lihat DI SINI

dikatakan Hajarul Aswad

Destinasi 8 : Makam Ibnu Atho’ilah al-Iskandary

Masjid Ibnu Atho’ilah al-Iskandary
(tiada gambar makam, tak sempat ambil)
- penulis kitab Al-Hikam
- info selanjutnya, klik DI SINI

Makam Sayyidi Lukmal Bin Ilham
- terletak di bahagian luar masjid
- batu nisannya berbau wangi

Destinasi 9 : Makam Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)

lelaki di dalam gambar merupakan bapa kepada Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)

Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)
- 3 tahun dah hafal Al-Quran.
- meninggal dunia pd usia 4 tahun.
- bile ditanya bapanya bagaimana beliau mendidik anak, bapanya dengan rendah diri menjawab "kullu min 'indiAllah"(semuanya dari Allah). SubhanaAllah..

Bersyukur

Alhamdulillah. Allah telah menggerakkan hati saya untuk menerima tawaran meneruskan pengajian di sini, Mesir. Kalau tidak, tak kan dapat saya menelusuri sendiri sejarah wali-wali Allah dan mengambil iktibar dari kisah perjuangan mereka dalam menuntut ilmu, memperjuangkan syariat Islam dan banyak lagi.

Sungguh. Allah Maha Mengetahui. Yang tersirat, apatah lagi yang tersurat. Yang tersembunyi, apatah lagi yang jelas serta nyata. Kuasa Allah mengatasi manusia, mengatasi segala-galanya.

Wallahu'alam


28 April 2011

Jejak Cita~



Jejak Cita
Devotees

Berdiri aku di sini
Menatap mentari terbit lagi
Membawa cahaya menerangi hari
Dan saat itu masih ku nanti

Kita sama punya cita
Yang menunggu di hadapan sana
Biar pun berliku ditempuh jua
Cekal dan tabah azimat jiwa

Tika ujian datang menduga
Tiada berputus asa dan kecewa
Andainya rebah bangkit semula
Berserah mengharap rahmatNya

Sama melangkah seiringan
Mengejar sebuah impian
Dengan semangat keyakinan
Menuju ke arah kejayaan
Bertekad penuh keazaman
Gemilangkan pasti di genggaman

Jangan lupa memohon padaNya
Tawakal berdoa sentiasa
Dialah penentu segala
Apa dikurnia ada hikmahnya

Di sana tiada jalan yang mudah
Hanya yang sabar kan terus melangkah
Berbekal keimanan di dada
Dan usaha pasti akan berjaya
Berjaya...

Ditujukan buat mereka yang tengah jatuh semangat. 
Moga semangat yang jatuh kembali terubat~
=)

26 April 2011

Memberi atau Menerima

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat hidup yang Allah terus kurniakan walaupun nikmat sihat ditarik seketika. Dalam hidup ini, sebagai seorang manusia haruslah sentiasa bersyukur pada Tuhan yang telah memberi segala kepada kita sebagai hambaNya.

Allah itu Maha Pemberi

Sungguh. Allah itu Maha Memberi dan Maha Memenuhi segala hajat. Allah yang memberikan manusia nikmat rezeki tanpa mereka meminta-minta. Apatah lagi, bila mana hambaNya meminta, Dia lah yang Maha Kuasa memenuhi hajat mereka. 

Allah itu Maha Pemurah. Setiap kali hambaNya mengangkat tangan memohon doa dan pertolongan, tidak pernah dipersia-siakan. Allah memakbulkan permintaan hambaNya yang beriman.

Diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi, Rasulullah s.a.w. telah bersabda,

"Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi. Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)


Memberi Suatu Amalan Yang Dituntut



Memberi membawa maksud menyebabkan seseorang menerima sesuatu. "Sesuatu" di sini terlalu luas skop definisinya. 

Boleh jadi sesuatu itu adalah pertolongan. Pertolongan pula boleh dari pelbagai aspek yakni dari segi kewangan, tenaga, buah idea dan macam-macam lagi. 

Boleh jadi juga sesuatu itu adalah sesuatu yang sangat simple, semua orang boleh buat. Contohnya, senyum :). So simple! Tidak salah bertukar senyuman sesama saudara se-Islam dan se-jantina kita kan. Apatah lagi, senyum itu adalah sedekah yang paling mudah dan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.


"Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api."
(Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Dan tiada salahnya kita bersedekah dengan harta yang kita ada kerana dengan bersedekah (memberi) tidak akan mengurangkan rezeki bahkan ianya akan menambah lagi rezeki.


Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan apa-apa sesuatu yang kamu belanjakan, maka Dia akan menggantikannya; dan Dia adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki."
(Saba': 39)


Manusia: Lebih Menerima Daripada Memberi?

Ya. Manusia itu lebih cenderung untuk menerima, bahkan rata-rata mengelakkan diri daripada memberi. Hakikatnya, dari awal kehidupan kita, terlalu banyak perkara yang kita terima. Bermula dengan ruh atau nyawa daripada Allah yang telah menghidupkan hambaNya, kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa, rezeki dalam kehidupan yang tidak disangka-sangka, pelajaran dalam mendidik diri dan banyak lagi yang tak tersenarai di sini. 

Muhasabah diri kembali. Di sebalik semua kurniaan ini, adakah kita bersyukur? Kekadang, rasa diri sudah bersyukur. Namun alangkah ruginya jika rasa syukur itu tidak diluahkan melalui  tindakan memberi, berkongsi nikmat yang Allah kurniakan.  Cuba kita lihat sepanjang kehidupan kita di dunia ini, adakah kita banyak memberi atau banyak menerima? Tepuk dada tanya hati.


Hidup Saling Memerlukan


Ditanya kepada Luqman Al Hakim: "Siapakah manusia yang paling baik?" Luqman menjawab: "Orang kaya." Ditanya lagi: "Kaya pada hartakah?" Jawab Luqman: "Tidak, tetapi orang kaya ialah jika diminta kebaikan daripadanya ia akan memberi. Jika tidak, dia telah menjadikan dirinya tidak memerlukan orang lain."


Manusia hidup di dunia ini saling memerlukan. Kalau tidak, mengapa adanya golongan kaya dan miskin di dunia ini? Kenapa tidak hanya ada golongan kaya sahaja? Secara logiknya, andai tiada golongan miskin, golongan kaya tidak dapat berbuat kebaikan. 

Contoh lain, seseorang anak memerlukan ibu bapa di dalam hidupnya. Kerana dari mereka lah si anak mendapat kasih sayang, didikan, perhatian dan segalanya. Mereka sangat bermurah hati memberi segala yang diingini oleh si anak kerana si anak adalah anugerah daripada Allah, si anak lah penghibur hati mereka dan si anak jua lah yang diharapkan untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Seorang sahabat juga memerlukan sahabat yang lain. Di saat hidup berjauhan dari keluarga, sahabat lah orang yang paling dekat dengan kita. Dari mereka kita mendapat kasih sayang sahabat, nasihat dan peringatan serta bermacam lagi kebaikan.

Hakikatnya, kita tidak boleh hidup keseorangan di dunia ini. Adam perlukan Hawa. Kita? Perlu kepada Dia, Yang Maha Esa :). Tetapi ingatlah bahawa Allah tidak memerlukan kita.


Ayuh Memberi!



Menerima dan memberi adalah dua proses yang harus berjalan pada diri manusia. Tidak sempurna keberadaan manusia jika hanya memiliki satu saja dari sifat tersebut. Memberi adalah satu kebaikan. Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah. 

Oleh itu sahabat, usah bimbang untuk berbuat kebaikan. 

Firman Allah s.w.t.:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
(Al-Isra': 7)

Usah ragu dalam memberi.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 

“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.” 
(Sebahagian hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Wallahua'lam.

13 April 2011

ILY! ♥



Dia yang ku CINTA.

Dia yang ku SAYANG.

Dia yang ku RINDU.

Dia yang banyak BERJASA.

Dia yang banyak BERKORBAN.

Dia yang sungguh MULIA.

Dia yang TIDAK PERNAH KENAL erti penat lelah.

Dia yang TIDAK JEMU melayan kerenah ku.

Dia yang jauh pada zahirnya.

Namun, di hati DEKAT SELALU.




Ya Allah...

Berkatilah usianya yang lalu dan akan datang.
Kurniakanlah kesihatan baik yang berpanjangan buat dirinya.
Berikanlah kekuatan kepadanya untuk terus menjadi insan penting dalam hidupku.
Redhailah segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkannya.
Berkatilah segala langkahnya dalam mendidik diri ini menjadi insan berguna.
 Titipkanlah kebahagiaan di dunia dan akhirat buat dirinya.
Rahmatilah dirinya Ya Allah.

Amin Ya Rabbal 'Alamin...



Selamat Hari Lahir!

Mak,

 I LOVE YOU! ♥

05 April 2011

Terasing.

بسم الله الرحمان الرحيم

Terasing. Sama maksud dengan tersisih atau terpisah dari yang lain atau pun dengan kata yang lebih mudah keseorangan atau bersendirian. 

Tak semua orang sedang atau pernah mengalami situasi sebegini. Hanya mereka tertentu sahaja akan merasai pengalaman yang pahit ini.


Bersendirian

Perasaan bersendirian pada hakikatnya merupakan suatu pengalaman yang bersifat negatif. Seseorang boleh mengalami perasaan bersendirian dan terasing atas faktor-faktor yang berbeza. 

Secara umumnya, perasaan bersendirian lebih dialami oleh mereka yang pendiam. Kurangnya interaksi dengan masyarakat sosial (bagi saya, ahli keluarga dan sahabat) di sekeliling adalah disebabkan kurangnya kemahiran komunikasi, atau pun kemahiran 'beramah mesra' dan sebagainya. 

Dalam konteks kehidupan sebagai seorang pelajar, seseorang itu bersendirian mungkin kerana pengalaman yang menuntut dia bersendirian walau hakikatnya dia tidak ingin bersendirian. Contohnya mereka yang tercicir dari mereka yang terkehadapan. Ah, berlapiknya cakap. Senang cakap, golongan yang terpaksa bersendirian adalah mereka yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun yang menyebabkan mereka tidak dapat bersama-sama mereka yang berjaya meneruskan pelajaran baru dan tidak perlu mengulang tahun belajar yang sama.


Mengasingkan diri

Bilamana terjadinya situasi sedemikian, pelbagai emosi dan rasa hadir dalam diri. Sedih, kecewa, lemah semangat, rendah diri, serta segan dengan mereka yang lebih berjaya. Bila segan menyelubungi diri, secara sendirinya terasa ingin mengasingkan diri.

"Eh, kenapa malu? Alah, buat biasa-biasa je. Kita kan masih satu batch."

Terdiam. Sepi tiada jawapan. Hanya mampu memberi senyum yang dibuat-buat. 

Untuk buat biasa-biasa itu lah yang payah bila rasa lain dengan yang lain itu hadir. Ada jurang yang memisahkan. Ah, susah untuk terangkan. Hanya mereka yang melaluinya dapat merasainya dan memahami perasaan lain itu.


Bukan Salah Siapa-siapa

Jangan tuduh mereka, usah salahkan mereka. Mereka mungkin tidak menyisihkan mereka dan bukan kehendak mereka sepenuhnya untuk menyendiri, mengasingkan diri. Sebenarnya, faktor perbezaan antara mereka menyumbang ke arah pengasingan ini. Perbezaan dari segi ujian hidup yang menimpa diri masing-masing, perbezaan langkah perjalanan hidup yang mendatang dan lain-lain.

Mereka harus hormati mereka andai ada mereka mengasingkan diri. Cubalah selami dan fahami mereka serta berilah peluang dan ruang untuk mereka. Bukan niat untuk memutuskan ukhuwah kerana persahabatan tidak pernah ada putusnya. Hakikatnya, situasi ini lah yang menampakkan nilai ukhuwah yang sebenar. Siapa di antara mereka sebenarnya sahabat sejati, yang setia bersama ketika senang mahu pun susah, ketika suka dan duka.


Dari Nu'man bin Basyir r.a., Rasulullah s.a.w bersabda,

"Perumpaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur."
(Hadis Riwayat Muslim)



Kongsikan Semangat, Titipkan Doa

Mereka memiliki emosi yang tidak stabil terutamanya pada awal ujian sebegitu hadir. Peranan anda? Jangan buat mereka rasa lebih tersisih. Pinjamkanlah semangat untuk mereka yang jatuh kerana bukan mudah untuk bangkit setelah jatuh. Berikanlah kata-kata yang menguatkan diri mereka untuk menghadapi segala ketentuan dari Allah yang Maha Mengetahui. Andai tidak berupaya meluahkan kata-kata, doakan mereka.


Daripada Abu Darda' r.a.: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Doa seorang Muslim kepada saudaranya yang Muslim dengan tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada di dekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama."
(Hadis Riwayat Muslim)


Wallahu'allam..



Nota: mereka/anda = mereka yang lebih berjaya, mereka = mereka yang kurang berjaya

Nota 1: Maaf andai ada yang terasa.

Nota 2: Sendiri by Tashiru.