Pintu bilik air ditutup. Pili di sinki dibiarkan terbuka.
Air mata merembes dengan lajunya.
Ahh, rindunya...
========================================================================
November 2008
"Salam Angah. Semalam Tokki dah pergi................................"
Lidah terkedu. Terpaku di hadapan laptop.
Betul ke apa yang adik ku tulis ni? (pada wall FS)
Telefon bimbit yang baru dibeli semalam untuk menggantikan telefon yang rosak dicapai. Laju tangan menaip dan menghantar mesej kepada Mak untuk mendapatkan pengesahan tentang berita yang mengejutkan tu. Tak menunggu lama sebab jangka Mak tak akan balas mesej dalam masa terdekat dek waktu tu orang di Malaysia mungkin masih tidur. Tutup FS dan paksa diri untuk tidur, lari seketika dari fikiran yang bercelaru.
Keesokan pagi, membaca mesej Mak membuatkan air mata mengalir lagi. Sedih tak sempat bertemu dan mencium arwah buat kali terakhir. Terkilan tak sempat sampaikan tasbih yang Tokki nak. Dan yang mengecewakan, berita ni disampaikan lewat sehari. Mak cakap tak nak bagi Angah risau. Ya Mak, Angah faham dan mengerti akan tindakan Mak tu. Tapi, tak dapat dinafikan hati sedikit terguris :(.
Baru je beberapa hari lepas Angah sempat bercakap dengan Tokki. Masa tu Tokki di dalam wad di Hospital Besut. Mak sekadar menyatakan Tokki dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Bercakap dengan Tokki, suara dia lemah. Sekejap je dapat borak dengan Tokki. Tak sangka itu kali terakhir Angah dapat bercakap dengan Tokki, tu kali terakhir Angah kan mendengar suara Tokki dan sungguh tak sangka kata-kata Tokki, "jaga diri molek, blaja sungguh.." merupakan amanat dan pesanan terakhir dari arwah.
=======================================================================
Tokki,
kenapa pergi ketika Angah tiada di sisi?
kenapa pergi sebelum Angah sempat memberi tasbih yang dijanjikan?
kenapa tinggalkan Angah di saat Angah belum dapat membawa pulang ijazah kejayaan yang dijanjikan?
kenapa pergi sebelum Angah sempat bertanyakan jodoh yang sesuai untuk Angah?
kenapa pergi sebelum Tokki menghadiri walimah cucu Tokki ni?
Allah Allah Allah.
Wahai diri, sedarlah! Fikiran mu sedang dihasut.
Apa hak kau untuk mempersoalkan ketentuan Ilahi?
Apa hak kau untuk menyalahkan takdir yang telah tercatat dari dulu lagi??
Astaghfirullah.. Ampunilah dosa-dosa hambaMu ni ya Allah..
Air mata yang masih mengalir dikesat. Wudhu' diambil.
Usai menunaikan solat Maghrib, al-Quran dicapai.
Halaman surah Yassin dibuka.
Hati berbisik,
"Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tokki yang disayangi. Tempatkanlah arwah bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin..."
Bacaan dimulakan.
Dalam kenangan dan ingatan,
Allahyarham Haji Busu b. Abdul Rahman
Al-fatihah
Al-fatihah
Nota: Tokki, Angah rindu...